Pihak polis menyerbu sebuah rumah kedai di Muara Tabuan, Kuching, yang dijadikan sebagai pusat operasi melombong bitcoin, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Pihak polis menyerbu sebuah rumah kedai di Muara Tabuan, Kuching, yang dijadikan sebagai pusat operasi melombong bitcoin, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Dua lelaki yang juga penjaga premis ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Muara Tabuan, di sini, yang dijadikan pusat operasi melombong bitcoin, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan jam 10.10 pagi dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah(BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama pihak Sesco hasil daripada risikan.

"Lelaki berusia 24 dan 44 tahun ditahan kerana disyaki menjadi penjaga premis yang beroperasi sejak Februari lalu.

"Kedua-dua suspek akan dipohon reman di mahkamah Kuching pada hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan pemilik sebenar premis yang masih bebas.

Beliau berkata, berdasarkan semakan Sesco, keuntungan kasar yang diperoleh hasil aktiviti itu adalah RM 23,000 sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan dalam tempoh lapan bulan beroperasi mencecah RM184,000.

Ahsmon berkata, turut dirampas pelbagai peralatan termasuk satu unit monitor komputer, satu unit pemprosesan komputer (CPU), 90 unit mesin bitcoin, router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan melombong bitcoin.

"Kertas siasatan dibuka di bawah dua kesalahan iaitu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 3:26 PM