Aizat Sharif
am@hmetro.com.my


Kangar: Seorang bekas operator radio pelantar minyak ditahan polis hari ini sebaik sembuh selepas dijangkiti Covid-19 gara-gara menceroboh masuk wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 sebuah hospital di sini 29 September lalu.

Difahamkan suspek berusia 46 tahun itu bertindak demikian tanpa memakai pelitup muka atau sebarang pakaian perlindungan diri (PPE) dengan alasan untuk mencari isterinya yang sarat mengandung bertugas di wad berkenaan.

Suspek ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada jam 1 pagi hari ini di kediamannya di Jalan Ngulang, Mata Ayer di sini susulan laporan polis dibuat oleh kakitangan hospital berkenaan.

Sumber berkata, suspek didakwa memasuki wad berkenaan sekitar jam 4.30 pagi dan ketika kejadian terdapat empat pesakit Covid-19 dirawat di situ.

"Lelaki itu kemudian keluar melalui ruang lobi ICU dan kejadian berkenaan mempunyai risiko tinggi jangkitan Covid-19 terhadap suspek serta orang yang berada di sekitarnya.

"Malah kejadian itu juga boleh mengakibatkan wad itu terpaksa ditutup dan boleh menjejaskan perkhidmatan di hospital berkenaan.

"Selain itu juga, suspek difahamkan pernah beberapa kali menceroboh masuk ke kawasan ICU dengan alasan mencari isterinya," katanya.

Sementara itu, suspek dibawa ke Mahkamah Kangar oleh polis untuk permohonan reman dan suspek turut diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan dan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad.

Permohonan polis untuk menahan reman suspek untuk tujuan siasatan bagaimanapun ditolak Penolong Pegawai Undang-Undang Mahkamah Kangar, Suazira Mohd Surat serta membenarkan permohonan peguam suspek untuk diberi jaminan polis sementara menunggu tarikh pertuduhan di mahkamah.

Zuhair ketika ditemui berkata, tindakan anak guamnya itu didakwa hanya untuk memastikan isterinya yang sedang sarat mengandung anak kembar pada ketika itu berada dalam keadaan baik kerana terpaksa bertugas di hospital itu meskipun dalam keadaan mengandung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:17 PM
Suspek sambil diiringi peguam, Zuhair Ahmad Zakuan (berkemeja putih) dibawa memasuki kereta polis selepas mahkamah menolak permohonan perintah reman daripada polis. FOTO AIZAT SHARIF
Suspek sambil diiringi peguam, Zuhair Ahmad Zakuan (berkemeja putih) dibawa memasuki kereta polis selepas mahkamah menolak permohonan perintah reman daripada polis. FOTO AIZAT SHARIF