Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jumlah kemalangan jalan raya mencatatkan peningkatan setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan bermula 18 Mac tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata, sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan membabitkan 5,412 kemalangan maut dan 5,739 kematian sejak 18 Mac tahun lalu hingga 13 Oktober lalu.

"Sejak 18 Mac tahun lalu, terdapat beberapa fasa PKP yang dilaksanakan termasuk PKP 1, PKP 2, PKP 3 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan dengan 54 kemalangan maut serta 56 kematian.

"Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula merekodkan 102,240 kemalangan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Kasim berkata, terdapat tiga punca utama yang dikenal pasti menyebabkan kemalangan maut bagi tempoh itu iaitu terbabas sendiri, cuai ketika keluar atau masuk simpang dan cubaan memotong serta tukar laluan.

Menurutnya, pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan sepenuhnya dengan mengambil kira peningkatan kadar kemalangan bagi tempoh PKP 1 hingga PKP 3 serta pertambahan jumlah kenderaan serta kebenaran rentas negeri ketika ini.

"Bagi mengurangkan kemalangan dan kemalangan maut, tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya.

"Peningkatan aliran susulan kebenaran rentas negeri ketika ini akan memberikan impak baru kepada aliran trafik di semua sektor jalan raya dan peningkatan kadar kemalangan berdasarkan trend semasa," katanya.

Susulan itu, pihaknya mencadangkan supaya pengguna jalan raya mengamalkan kawalan kendiri yang lebih tinggi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Op Covid-19.

"JSPT akan melaksanakan sepenuhnya penguatkuasaan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya kemalangan maut ekoran pertambahan jumlah kenderaan.

"Langkah ini membabitkan semua lapan operasi utama JSPT yang akan dipertingkatkan serta menggunakan pendekatan secara 'total enforcement'," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan JSPT yang menyeluruh akan digunakan bagi menyuraikan kesesakan aliran kenderaan di semua sektor jalan raya.

"Ia dibuat selepas mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan yang dijangka berlaku dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila peraturan dilonggarkan.

"Justeru itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menentukan diri kekal cergas semasa pemanduan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 11:19 AM