PENDAFTARAN pelajar ke PMM berjalan lancar. FOTO Nazri Abu Bakar
PENDAFTARAN pelajar ke PMM berjalan lancar. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Selepas hampir dua tahun tidak ke kampus susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 220 penuntut Politeknik Merlimau Melaka (PMM) teruja kembali ke kampus hari ini.

Norhakim Ali, 20, berkata, dia bersyukur dapat kembali ke kampus dan tidak sabar untuk mengikuti sesi pengajian secara bersemuka.

"Bukan itu saja malah saya tidak sabar untuk bertemu rakan walaupun dalam tempoh sama, ramai yang sudah menamatkan pengajian.

"Saya dan rakan lain akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi kepentingan bersama," katanya yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar PMM.

Nurul Izzah Batrisya Muzapar, 20, berkata, kemasukan penuntut juga teratur kerana menggunakan kaedah pandu lalu.

"Penuntut juga dimaklumkan berkaitan pergerakan termasuk mengambil kunci Kampung Siswa-Siswi (Kamsis) melalui simulasi video," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PMM Zan Aizuwan Zainal Abidin berkata, 220 penuntut melapor diri di kolej kediaman dan di luar kampus.

"PMM juga menyediakan video khas kepada penuntut dan ibu bapa sebagai panduan sekali gus dapat memberi gambaran jelas apa langkah yang perlu diikuti ketika hadir ke kampus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 6:15 PM