Antara individu yang diperiksa JPN dalam tiga operasi berasingan di sini, pada Rabu. FOTO Ihsan JPN
Antara individu yang diperiksa JPN dalam tiga operasi berasingan di sini, pada Rabu. FOTO Ihsan JPN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menggempur tiga lokasi berasingan di sini dalam usaha mencegah, membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri Malaysia.

Operasi yang dijalankan jam 9 pagi itu disertai seramai 20 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN dengan dibantu 14 anggota polis.

Pegawai Operasi JPN Sabah, Malai Delhaizam Malai Hussin berkata, tiga lokasi yang diserbu masing-masing di kilometer 8 Jalan Sin San, Kampung Pasir Putih Batu 3.5 Jalan Utara dan Batu 3 Jalan Apas, dekat sini, pada Rabu.

Beliau berkata, operasi terbabit bertujuan untuk mencegah, membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri negara ini.

"Selain itu, kita juga menjalankan pemeriksaan ke atas individu yang menyimpan, memiliki kad pengenalan palsu atau menyalahgunakan kad pengenalan milik orang lain.

"Pemeriksaan dilakukan hasil pemerhatian, risikan dan maklumat dari sumber maklumat awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Delhaizam berkata, dalam operasi itu seramai 79 individu diperiksa.

Bagaimanapun, hanya seorang individu ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Undang-Undang JPN mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 kerana memiliki Kad Pengenalan palsu.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 2:03 PM