Aizat Sharif

Padang Besar: Penemuan tulang dan tengkorak manusia berusia kira-kira 5,000 hingga 10,000 tahun lalu serta lukisan pada dinding gua zaman proto sejarah di Bukit Keteri dan Gua Semadong di sini, membuktikan bahawa Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat pra sejarah dan proto sejarah itu.

Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, penemuan fosil manusia di Bukit Keteri serta lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia sudah ditemui sejak 2018 lalu.

"Kita lihat banyak serpihan fosil tulang manusia dipercayai berusia 5,000 hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri manakala lukisan pada dinding gua di Semadong di Kangar pula, dipercayai mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.

"Berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu, Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul digunakan sebagai tapak penempatan dan pengebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.

"Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat pra sejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah di mana artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan berkenaan sebelum ini," katanya selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Asmaiza Ahmad, Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Ruzairi Arbi dan Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Perlis Ismasuhaimi Shariff.

Menurut Mohd Azmi, ia adalah penemuan sejarah yang terbaru selain daripada penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.

"Ini adalah penemuan terbaru dari Perlis dan satu penemuan yang amat baiklah bagi kita untuk merangka kronologi sejarah kita mungkin ada yang terputus dan kita akan tengok dari segi penyebarannya nanti.

"Kita berharap semua masyarakat di luar bila tengok ini boleh sama-sama menjaga warisan itu dan kalau adanya vandalisme, kita tidak dapat berbuat kajian berkenaan penemuan kerana ia penting buat kita.

"Apa yang penting pada waktu ini adalah kita akan berusaha untuk gazet tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah agar ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Asmaiza berkata, penemuan bahan bersejarah amat penting dalam pembentukan sejarah negeri Perlis.

"Kita akan mendapat produk baru buat Perlis dan hasil lawatan JWN hari ini, kita mengharapkan satu justifikasi kepada bahan sejarah yang wujud sekian lama di kawasan ini.

"Ini juga akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di negeri ini menerusi penemuan bahan bersejarah seperti lukisan dan tengkorak yang berada di kawasan ini," katanya.

Lukisan pada dinding gua di Semadong di Kangar yang dipercayai mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi. Foto Aizat Sharif
Lukisan pada dinding gua di Semadong di Kangar yang dipercayai mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi. Foto Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:57 PM