JENERAL Tan Sri Affendi Buang (dua dari kiri) semasa menaiki kenderaan perisai Tank-PT91M Pendekar 125mm Gun pada Latihan Kuasa Tembakan 2021 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini. FOTO Bernama
JENERAL Tan Sri Affendi Buang (dua dari kiri) semasa menaiki kenderaan perisai Tank-PT91M Pendekar 125mm Gun pada Latihan Kuasa Tembakan 2021 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Tampin: Lapang Sasar Asahan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini, digegarkan dengan dentuman tembakan dan bom serta diliputi kepulan asap bersempena Latihan Kuasa Tembakan (LKT) dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Umpama berada di medan perang, senario sedemikian membabitkan penyertaan 969 pegawai dan anggota serta disokong 106 aset dan persenjataan seperti kereta kebal Pendekar, kereta perisai Gempita serta Adnan.

Aksi berkenaan berlangsung hampir tiga jam bermula jam 10 pagi. Ia turut disaksikan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Selain itu, turut dipertontonkan adalah aset persenjataan yang merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar.

Antaranya Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, meriam 155mm G5 MK III, meriam 105mm PH L5 dan pelancar peluru berpandu anti kereta kebal (ATGW) Ingwe.

Ruang udara pula menyaksikan pertunjukan helikopter Super Lynx daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipasang dengan mesingan berat (HMG) selain helikopter Agusta A109 LOH yang dipasang dengan mesingan gatling daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Sementara itu, Affendi berkata, latihan berkenaan diadakan untuk mempamerkan keupayaan 'Combined Arms ATM' dalam pergerakan dan kuasa tembakan membabitkan 106 aset sistem bantuan yang merangkumi senjata bantuan infantri, mekanis, armor, artileri, PUTD, TLDM serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jelasnya, latihan berkenaan secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

"Pada masa sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiapsiagaan ATM tidak terjejas, walaupun tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani penularan Covid-19," katanya pada sidang media.

Kata beliau, ATM terus mengukuhkan pembangunan modal insan dan kompetensi melalui kelangsungan pelbagai kursus dan latihan ketenteraan yang dirancang.

Ini kerana, ia adalah pelaburan berterusan bagi memastikan pemerkasaan keupayaan dalam pengendalian pelbagai peralatan dan persenjataan berteknologi tinggi.

Menurut beliau, ATM mempunyai perancangan strategik dalam meningkatkan keupayaan pertahanan namun apa yang lebih penting adalah untuk menentukan sokongan operasi bagi aset pertahanan bakal diperoleh pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 5:33 PM