Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Masih menjadi tanda tanya apabila seramai kira-kira 300 guru di Perak belum menerima vaksin Covid-19 sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, jumlah itu bagaimanapun hanya membabitkan guru yang mungkin masih menunggu janji temu MySejahtera.

''Sebahagian guru ada yang belum mengambil vaksin kerana masih menunggu tarikh janji temu, belum mengisi dan dalam proses mengisi MySejahtera ketika itu,'' katanya selepas hadir pada Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Perak di Space Park Hall, Angsana Mall di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Supian Alias.

Ahmad Saidi berkata, difahamkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih berusaha menghubungi guru yang belum menerima vaksin terbabit.

''Kami cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada guru terbabit berkaitan isu vaksinasi itu,' 'katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada Kementerian Pendidikan berhubung tindakan kepada guru yang menolak vaksin.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 1,352 guru sekolah rendah dan menengah di Perak masih belum divaksin sehingga 31 Ogos lalu.

Untuk rekod terdapat seramai 37,590 guru di negeri ini dan seramai 36,238 guru sudah menerima vaksin masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, seramai 168, 897 bersamaan 91.32 peratus daripada keseluruhan 184, 956 pelajar sudah menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kebangsaan (PICK) Remaja setakat semalam.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan keseluruhan PPV awam termasuk di sekolah di negeri ini akan ditutup sepenuhnya pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:47 PM