FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Sembilan Ahli Parlimen menubuhkan satu kaukus baru iaitu Kaukus Medical Cannabis, bagi mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan ganja perubatan untuk mengurangkan kemudaratan sebagai satu daripada bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.

Kaukus itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan disertai Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Khalid Abd Samad (Shah Alam); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

Turut sama, Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Dr Azman Ismail (Kuala Kedah); Lukanisman Awang Sauni (Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Kaukus Medical Cannabis dalam satu kenyataan berkata, kaukus yang ditubuhkan hasil kerjasama pelbagai parti itu sebagai salah satu usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi untuk mengkaji kawal selia penggunaan ketum serta ganja perubatan bagi mengurangkan kemudaratan.

Katanya, sebagai sebahagian dari rangka kerja awal, Kaukus Medical Cannabis akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan serta kementerian yang terbabit bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.

"Hasil daripada penubuhan ini, Kaukus Medical Cannabis akan hadir dengan draf cadangan untuk perhatian Kerajaan Malaysia bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan ganja perubatan dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara," katanya.

Selain itu katanya, ia juga selaras dengan usaha untuk mengembangkan industri ketum dan ganja perubatan di Malaysia yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat tempatan.

"Kaukus Medical Cannabis percaya semangat bipartisan yang diangkat ini akan dapat diterjemah kepada dasar dan strategi yang baik untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:09 PM