Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan peningkatan dalam kadar import bahan makanan untuk memenuhi keperluan negara sewaktu penularan Covid-19 tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, dalam tempoh sama kadar eksport bahan makanan negara turut menguncup.

Menurutnya, jumlah import makanan negara terus meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun daripada RM45.3 bilion pada 2015 kepada RM55.4 bilion pada tahun lalu.

"Pengimportan bahan makanan itu perlu bagi menampung kekurangan pengeluaran tempatan dan memenuhi permintaan dalam negara, terutamanya bagi bahan makanan tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara seperti buah dan sayur beriklim sederhana iaitu bawang, ubi kentang, gandum, gula dan sediaan gula.

"Lima jenis import bahan makanan utama bagi tahun lalu ialah kopi, koko, teh dan rempah; bijirin; sayuran (RM5.1 bilion); bahan makanan ternakan (RM6.2 bilion) serta keluaran dan sediaan makanan lain (RM6.6 bilion)," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, eksport bahan makanan menguncup sebanyak 0.9 peratus kepada RM33.7 bilion tahun lalu, berbanding RM34.0 bilion pada 2019.

Katanya, penguncupan itu akibat sektor pemasaran dan rantaian nilai terjejas dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sepanjang tahun lalu.

"Negara eksport utama bagi produk bahan makanan Malaysia pada tahun lalu adalah Singapura sebanyak RM6.8 bilion, China (RM4.2 bilion) dan Thailand (RM1.9 bilion).

"Lima jenis eksport bahan makanan utama tahun lalu ialah kopi, koko, teh dan rempah (RM8.8 bilion); ikan, krustasea, moluska (RM3.5 bilion); bijiran dan sediaan bijirin (RM2.9 bilion); bahan makanan ternakan (RM2.5 bilion) serta keluaran dan sediaan makanan lain (RM8.9 bilion)," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang meminta statistik pengeksport hasil pertanian mengikut jenis, jumlah pendapatan dan negara yang mengeksport produk negara.

Menjawab soalan tambahan Nai Kwong mengenai usaha kerajaan mengurangkan import makanan dengan pembabitan syarikat swasta dan golongan profesional, Ahmad berkata, kerajaan menyediakan insentif pengecualian cukai.

"Syarikat yang baru mencebur dalam bidang pengeluaran bahan makanan diberi pengecualian cukai selama 10 tahun.

"Bagi syarikat berkembang turut diberi pengecualian cukai selama lima tahun, dan syarikat pelaburan langsung domestik (DDI) serta pelaburan langsung asing (FDI) dalam bidang ini turut diberi pengecualian cukai selama lima tahun.

"Ini adalah antara insentif disediakan kerajaan bagi menarik minat pelabur dan syarikat menyertai bidang pengeluaran bahan makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 2:31 PM