Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan sementara Melaka pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menjalankan tugas seperti biasa mengikut had tugasan yang ditetapkan walaupun menerima reaksi berbeza dalam kalangan pemimpin politik tempatan.

Mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) juga diadakan semalam, dipengerusikan Sulaiman selaku ketua kerajaan sementara dan dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Kamel Mohamad yang juga pentadbir kerajaan ketika ini.

Sulaiman berkata, sebagai kerajaan sementara, sudah pasti mempunyai had kuasa dalam setiap pengurusan dan pentadbiran.

Kata beliau, sehubungan itu, bagi memastikan kerajaan di bawah kepemimpinan Kamel berjalan lancar, beliau bersama enam anggota EXCO lain akan membantu dalam apa jua keadaan.

"Langkah itu bagi memastikan semua aktiviti terutama berkaitan kebajikan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan baik selain memastikan segala bentuk projek pembangunan untuk kepentingan rakyat dipantau seperti biasa," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Webinar Pelan Induk Keselamatan Pekerjaan 2021 peringkat negeri di Hotel MITC di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Perpaduan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ismail Othman.

Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka serta berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, Sulaiman adalah ketua bagi kerajaan sementara Melaka ketika ini.

Kelmarin, Kamel pada kenyataan memaklumkan, Sulaiman akan dibantu oleh EXCO sedia ada dan boleh mentadbir sementara negeri itu, kecuali mereka yang sudah meletak jawatan.

Walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, namun, berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, kerajaan sementara hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

Sementara itu, Sulaiman berkata, Melaka dijangka memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan.

"Mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 peringkat kebangsaan tempoh hari yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, Melaka sepatutnya beralih ke Fasa 4 bersama Pahang minggu lalu.

"Namun, oleh kerana kes Covid-19 di Melaka menunjukkan angka yang tidak menentu, maka peralihan fasa itu terpaksa ditangguhkan.

"Bagaimanapun, saya yakin kita akan melangkah ke Fasa 4 minggu hadapan susulan kes positif Covid-19 menampakkan sedikit penurunan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:03 PM