GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tujuh sekeluarga disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita warga Thailand dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Gua Musang - Kuala Berang, dekat Gua Musang, 5 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, sambung reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek berusia antara 21 hingga 64 tahun direman bagi melengkapkan siasatan kes sebelum dihadapkan ke pihak pendakwaan.

"Kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu, namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, mayat wanita warga Thailand ditemukan dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Gua Musang - Kuala Berang dekat Gua Musang.

Ketua Polis Daerah, Sik Choon Foo dilaporkan berkata, mayat mangsa berusia 44 tahun dalam keadaan separuh bogel itu dijumpai orang awam yang melalui jalan berkenaan pada 3 petang.

Susulan itu, tujuh sekeluarga termasuk majikan lelaki berusia 64 tahun ditahan di Felda Chiku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 11:54 AM