Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendapatkan suapan kontrak pekerjaan bagi syarikat yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan, tiga tahun lalu.

Rozman bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Rozman sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Kontrak itu bagi Syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4 Putrajaya, antara jam 2.30 dan 5.30 petang, pada 21 Mac 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman tidak membantah jumlah jaminan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin di Semenanjung, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 10:11 AM