TANGKI air disediakan oleh Air Selangor bagi kemudahan penduduk Flat DBKL Sri Negeri Sembilan, Bandar Baru Sentul. FOTO NSTP
TANGKI air disediakan oleh Air Selangor bagi kemudahan penduduk Flat DBKL Sri Negeri Sembilan, Bandar Baru Sentul. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSPI) siap dilaksanakan 5 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, sehingga 6 pagi, sistem rawatan air di LRA SSPI sudah distabilkan dan bekalan air mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

"Bekalan kepada pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat pada 5 petang hari ini," menurut kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza.

"Ini bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 8:48 AM