ROSFAZILAH (kiri) yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal akibat kesan diserang strok menunjukkan kesan melecur pada kaki ibunya, Rubiah mengalami kencing manis, ketika ditemui di kediaman mereka. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ROSFAZILAH (kiri) yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal akibat kesan diserang strok menunjukkan kesan melecur pada kaki ibunya, Rubiah mengalami kencing manis, ketika ditemui di kediaman mereka. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Meskipun berada dalam serba kekurangan, wanita ini sanggup menggalas tanggungjawab menjaga ibunya yang terlantar bagi memastikan wanita itu mampu hidup selesa.

Bukan sahaja mempunyai kekurangan dari segi fizikal akibat kesan diserang strok pada tahun 2008, malah keluarga Rosfazilah Ismail, 42, turut berdepan masalah kewangan kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja mengambil upah memasang longkang.

Menceritakan keadaan ibunya, Rosfazilah mengakui, ibunya, Rubiah Abdul Wahab, 74, terjatuh ketika berada di rumahnya di Bahau pada Ogos lalu sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, dan mendapati kaki kirinya patah.

"Kami tinggal di Kuala Pilah, manakala ibu tinggal bersama seorang anak saudara di Bahau. Ketika kejadian ibu mahu mengangkat kain sebelum terjatuh dan kakinya patah.

"Kakinya terpaksa dimasukkan besi dan tidak dapat berjalan bahkan memerlukan bantuan untuk bergerak. Malah, ibu turut ada penyakit kencing manis," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Melati Indah, di sini.

Selain itu, dia juga menghidap diabetes menyebabkannya pernah diserang strok pada 2008 dan sehingga kini tangan kanannya masih lemah.

"Setiap bulan kami perlu membeli Glukometer, iaitu alat yang digunakan untuk memeriksa tahap gula dalam darah. Malah, ibu juga perlu minum susu khas bagi mengawal tahap gula dalam badan.

"Setiap bulan kami membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 untuk membeli Glukometer, lampin pakai buang dan susu. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana ibu mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.

"Jika diharapkan kepada pendapatan suami, memang kami tidak mampu. Situasi lebih teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini apabila suami tiada pendapatan langsung kerana tidak dapat bekerja," katanya.

Rosfazilah mengakui terpaksa menggunakan tangan kiri untuk melakukan kerja rumah dan menulis walaupun kekok kerana sehingga kini tangan kanannya masih lemah.

"Biarpun dalam serba kekurangan ini, saya sedia menjaga ibu memandangkan adik-beradik lain mempunyai komitmen kerja.

"Jika ibu mampu membesarkan kami tujuh beradik, tiada salahnya giliran saya menjaga ibu sehingga ke akhir hayatnya kerana saya sedar, syurga saya di bawah tapak kaki ibu," katanya yang mempunyai empat anak berusia antara enam hingga 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:01 AM