Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini bersifat anjal apabila sudah memasuki kumpulan sasaran baharu vaksinasi seperti wanita hamil, remaja dan pekerja industri termasuk warga asing.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pihaknya mahu seluruh populasi di negara ini dilindungi daripada ancaman Covid-19.

"Kerajaan sebelum ini mencari penawar kepada penyakit Covid-19 yang ketika itu mula memakan korban.

"Walaupun belum ada lagi vaksin dihasilkan kerana kebanyakannya masih pada peringkat kajian makmal, saya pada masa itu tidak teragak-agak mengarahkan supaya tempahan awal dibuat daripada pelbagai fasiliti dan negara.

"Ini adalah matlamat untuk menjamin rakyat Malaysia akan mendapat akses kepada vaksin Covid-19 sebaik sahaja ia ditemui dan disahkan selamat untuk digunakan kelak," katanya ketika berucap di majlis Diners Club Talk Maktab Ketahanan Nasional di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau percaya bahawa vaksin akan menjadi penawar dan 'game changer' yang akan membawa keluar negara ini daripada kemelut pandemik yang mencetuskan krisis kesihatan pada masa itu.

"Saya menjangkakan ia akan membawa kepada krisis ekonomi sekiranya berlarutan. Terbukti keputusan saya untuk membuat tempahan awal membolehkan negara kita tersenarai antara yang mendapat jaminan awal bekalan vaksin.

"Ini membolehkan kita mengatur jadual pemberian vaksin secara tersusun mengikut fasa bermula dengan petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan diikuti warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seterusnya populasi dewasa lainnya," katanya.

Beliau berkata, berkat perancangan rapi serta kerja kuat semua pihak, program vaksinasi yang digerakkan ke seluruh pelosok negara lapan bulan lalu, kini membuahkan hasilnya.

"Negara kita berjaya mencatatkan rekod yang menakjubkan dalam pemberian vaksin kepada populasi Malaysia dan diiktiraf sebagai antara yang terpantas di dunia.

"Kejayaan program vaksinasi kita turut mendapat pujian dan pengiktirafan daripada negara-negara lain. Hasil proses vaksinasi yang pantas dan teliti kini dapat dilihat melalui pengurangan kes-kes baharu di dalam negara," katanya.

Menurutnya, kehidupan masyarakat ketika ini sudah perlahan-lahan kembali seperti biasa iaitu pada waktu sebelum pandemik tetapi masih mengekalkan suasana norma baharu.

"Pandemik yang melanda sehingga menyelubungi negara kita dengan krisis kesihatan dan ekonomi sejak lebih setahun lalu patut menyedarkan kita betapa ancaman apa jua anasir yang mampu menggugat keselamatan rakyat dan kestabilan negara boleh datang secara mengejut tanpa amaran.

"Justeru itu, kita perlu sentiasa bersedia dan siap siaga untuk menghadapinya pada bila-bila masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 11:14 PM