Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Mohamed Farid Noh
am@hmetro,com.my

Johor Bahru: Bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dipindahkan ke sebuah hospital di ibu negara bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas diserang angin ahmar, pagi hari ini.

Anaknya, Nornekman Osman berkata, proses untuk memindahkan ayahnya bagi mendapat rawatan di hospital di ibu negara itu sedang dilakukan.

"Bagi pihak keluarga, dengan ini memaklumkan bahawa ayahanda saya, Datuk Osman Sapian - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas sedang dalam proses bagi mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur akibat masalah kesihatan.

"Saya dengan ini memohon doa daripada semua supaya kesihatan ayahanda saya pulih seperti sedia-kala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu dilaporkan, Osman diserang angin ahmar ketika berada di rumahnya dan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Senator Md Nasir Hashim yang mengesahkan perkara itu dilaporkan berkata, Osman kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di bandar raya ini.

Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor Ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

Berita berkaitan

Bekas MB Johor, Osman Sapian diserang angin ahmar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 8:42 PM