KEADAAN Perodua Alza dinaiki mangsa yang terbabas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu. FOTO ihsan polis
KEADAAN Perodua Alza dinaiki mangsa yang terbabas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu. FOTO ihsan polis
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Seorang kru produksi filem maut sementara tiga lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran simpang tiga Kampung Saujana, di sini.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang juga pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, berkata ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakan sekerjanya dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terlanggar tunggul kayu di kiri jalan menghala ke Kuala Terengganu.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu berjaya mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan itu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke unit forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, penumpang hadapan, Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 39, serta penumpang belakang, Amir Daniel Suhaimi, 23, mengalami kecederaan parah retak di bahagian leher.

"Sementara itu seorang lagi penumpang belakang, Nur Azizi Nazril Abd Aziz, 26, mengalami kecederaan parah putus tangan kiri," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:02 PM