BANGUNAN Kementerian Luar, Wisma Putra di Putrajaya. FOTO Arkib NSTP
BANGUNAN Kementerian Luar, Wisma Putra di Putrajaya. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Luar melalui Wisma Putra hari ini memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur untuk menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap isu berkaitan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan.

Beberapa media melaporkan kerajaan peralihan Sudan berhasrat untuk merampas aset milik syarikat minyak Malaysia, termasuk kompleks itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra menggesa kerajaan Sudan untuk menghormati 'Bilateral Investment Promotion and Protection Treaty' yang disepakati antara Malaysia dan Sudan.

Menurut kenyataan itu memandangkan Kompleks berkenaan turut menempatkan Kedutaan Malaysia, pihak Sudan digesa tidak mencemari premis diplomatik, seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Kementerian bekerjasama erat dengan Petronas, termasuk melalui Kedutaan Malaysia di Khartoum, untuk menyelesaikan isu berkenaan sejak ia mula tercetus pada Disember lalu.

"Sehingga kini, kementerian melakukan pelbagai usaha diplomatik untuk mengatasi isu ini, termasuk memanggil Kuasa Usaha Sudan (untuk kali kedua) ke Wisma Putra pagi ini untuk menyatakan kebimbangan.

"Kami akan terus memantau rapat perkembangan isu ini demi untuk menjaga kepentingan Malaysia di Sudan," menurut kenyataan itu.

Meskipun Petronas bertindak memfailkan permohonan arbitrasi (timbang tara), kementerian berharap dapat menyelesaikan dengan baik dan tepat pada masanya bertujuan menjaga hubungan erat yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Sudan.

Kementerian Luar turut memaklumkan semua rakyat Malaysia yang tinggal dan berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Khartoum berada dalam keadaan selamat.

Dalam satu kenyataan berasingan, Petronas memaklumkan pihaknya telah bertindak memfailkan permohonan arbitrasi (timbang tara) di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) berhubung perkara itu.

"Petronas tidak dapat mengulas lanjut mengenainya memandangkan proses undang-undang sudah pun diambil," menurut syarikat minyak dan gas negara itu.

Berita berkaitan

Petronas ambil tindakan untuk batalkan waran tangkap kakitangan di Sudan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:34 PM