DEWAN Rakyat, gambar fail. FOTO Bernama
DEWAN Rakyat, gambar fail. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Yais Yatim mengingatkan ahli Yang Berhormat untuk menggunakan bahasa kebangsaan ketika berbahas.

Katanya, banyak istilah yang ada di dalam bahasa kebangsaan yang tidak digunakan menyebabkan ia luntur.

Beliau menyatakan perkara itu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Dr Rais menegur penggunaan perkataan homestay dan bukannya inap desa ketika Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjawab soalan Datuk Isa Ab Hamid mengenai usahawan kraf dan pelancongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tak sekali pun Yang Berhormat sebut inap desa. Saya bukan apa ahli Yang Berhormat, inilah sebabnya bahasa kebangsaan kita luntur. Ada istilah kita tak pakai.

"Jadi dalam hal itu saya mohon supaya kita sama-sama ingatkan kembali," katanya.

Sementara itu di dalam jawapannya, Dr Santhara berkata, sehingga 31 Ogos lalu seramai 6,220 orang usahawan kraf berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dan daripada jumlah itu, 150 orang usahawan kraftangan dilaporkan keluar dari bidang berkenaan, sama ada bertukar sementara ke bidang yang lain atau sebilangan kecilnya, bertukar kekal.

"Pada masa ini terdapat 3,060 orang pengusaha homestay berdaftar bagi Program Pengalaman Homestay Malaysia.

"Sememangnya tidak dinafikan mereka kehilangan peluang menjana pendapatan melalui aktiviti di bawah program ini. Ini kerana aktiviti homestay sememangnya bergantung penuh kepada kehadiran pelancong.

"Pendapatan daripada aktiviti homestay ini adalah pendapatan sekunder kepada pengusaha. Ini mengambil kira bahawa kebanyakan pengusaha homestay ini mempunyai sumber pendapatan primer yang lain hasil daripada kegiatan atau kerja utama mereka, seperti peneroka, peladang dan nelayan.

"Justeru, mereka masih mempunyai pendapatan, tetapi hanya hilang peluang pendapatan yang lebih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 11:19 AM