RADZI (dua dari kanan) berbual dengan seorang pelajar ketika mengadakan lawatan kerja di SMK Tunku Kurshiah, baru-baru ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
RADZI (dua dari kanan) berbual dengan seorang pelajar ketika mengadakan lawatan kerja di SMK Tunku Kurshiah, baru-baru ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Pengoperasian sekolah secara bersemuka sehingga kini dilaksanakan dengan baik dan teratur, mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhan, hampir 300,000 murid hadir bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka pada minggu pertama pembukaan sekolah.

Katanya, dasar pembukaan semua sekolah berkuat kuasa 3 Oktober lalu itu membabitkan negeri fasa 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Bagaimanapun, bagi Johor dan Kedah, sesi persekolahan secara bersemuka hanya bermula kelmarin.

"Ini mengikut ketetapan bagi negeri yang terbabit dengan peralihan fasa PPN.

"Alhamdulillah, sehingga kini pengoperasian sekolah secara bersemuka dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur mengikut garis panduan serta SOP yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Radzi menghadiri Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bagi memaklumkan status pembukaan sekolah secara bersemuka mulai 3 Oktober lalu.

Seiring situasi penularan jangkitan Covid-19 yang mula menunjukkan tanda pemulihan, Radzi menaruh harapan sesi persekolahan secara bersemuka berupaya kembali diteruskan selepas sekian lama ditutup.

"Terima kasih kepada semua pihak, khususnya ibu bapa kerana sentiasa memberi sokongan dan kerjasama serta guru yang bertungkus lumus membuat persiapan.

"Semoga usaha untuk merapatkan kembali anak-anak dengan sistem persekolahan secara bersemuka ini dipermudah dan sesi dapat terus berlangsung dengan teratur serta selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 9:27 PM