BENIH padi sah yang dirampas KPB selepas dijual melebihi harga siling di Jitra, Kedah. FOTO Ihsan KPB MAFI
BENIH padi sah yang dirampas KPB selepas dijual melebihi harga siling di Jitra, Kedah. FOTO Ihsan KPB MAFI
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sejumlah 300 kilogram (kg) benih padi dirampas Kawalselia Padi Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Kedah dalam serbuan di Taman Sri Halban, Jitra, semalam.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penjualan benih padi melebihi harga ditetapkan baru-baru ini.

Beliau berkata, benih padi berkenaan dijual pada harga antara RM37 hingga RM48 melebihi daripada kadar ditetapkan iaitu RM35 bagi setiap 20kg.

"Pemeriksaan dan siasatan mendapati, mereka menjual benih padi pada harga tinggi untuk musim kedua penanaman padi sehingga Oktober ini.

"Mereka dikesan mengambil kesempatan memanipulasi harga ketika wujud permintaan tinggi untuk benih padi ketika ini," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, benih padi dirampas bernilai RM525 dan tindakan diambil mengikut Perintah Tetap Ketua Pengarah Bil.7/2020.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pesalah ke muka pengadilan dan akan meneruskan risikan bagi memastikan tidak ada pihak menaikkan harga sesuka hati ketika musim penanaman padi di negara ini.

"KPB memberi tumpuan kepada bekalan benih bermutu kepada pesawah, kawalan harga seperti ditetapkan dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Kita meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tidak ada sebarang pelanggaran undang-undang di bawah akta terutama ketika rentas negeri dibenarkan kerajaan.

"Saya minta orang ramai untuk tampil membantu sekiranya mempunyai apa-apa maklumat untuk kebaikan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 5:57 PM