Hidayatidayu Razali


Bachok: Polis Kelantan menggerakkan 154 pasukan untuk membuat pemantauan di seluruh negeri susulan pembukaan sempadan negeri sejak semalam dan bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Ketuanya Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya turut menjangkakan lebih 50,000 kenderaan memasuki negeri itu pada hujung minggu ini, jumlah lebih tinggi berbanding 11,000 kenderaan ketika kebenaran rentas negeri awal tahun lalu.

"Kita tidak berkompromi dengan mana-mana individu sekiranya mereka tidak patuh kepada SOP. Langkah ini diambil untuk elak penularan Covid-19.

"Individu yang masuk ke negeri ini juga semuanya mesti lengkap dua dos vaksin, dan pemeriksaan dibuat anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk Kelantan iaitu di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

"(Setakat ini) semua yang masuk didapati patuh kepada arahan, kenderaan juga semakin bertambah," katanya ketika ditemui di Program Masyarakat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pasar Jelawat di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat Abdul Aziz Kadir.

Shafien menasihati penduduk Kelantan dan perantau yang bakal pulang mahupun pelancong supaya tidak culas dalam mematuhi SOP.

Dalam pada itu, beliau berkata, pondok bit polis Jelawat yang dibakar pada 11 September lalu akan dibaiki secara gotong-royong dengan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:43 PM