Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman memulakan siasatan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan polis meminjam RM100,000 untuk membeli pangkat Superintendan.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya kini sudah memulakan siasatan selari dengan tindakan tatatertib berkaitan kes jenayah berkenaan.

"Kes terbabit dibuka oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara selepas laporan polis dibuat seorang individu.

"Pegawai kanan polis itu akan dipanggil pada bila-bila masa untuk dirakam percakapan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, seorang wanita mendakwa pegawai kanan polis berkenaan meminjam RM100,000 daripadanya untuk urusan membeli pangkat Superintendan.

Dalam laporan polis yang dibuatnya, wanita itu mendakwa Deputi Superintendan (DSP) terbabit dan rakannya secara berasingan mengugut akan membunuhnya dan keluarga kerana meminta wang itu dipulangkan.

Wanita berusia 36 tahun itu mendakwa DSP terbabit yang juga rakannya bersetuju membayar balik wang itu jika perjanjian membeli pangkatnya tidak berjaya.

Difahamkan, pegawai berkenaan berkhidmat di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu mengesahkan laporan dibuat wanita itu dan keterangan pegawai kanan polis dan rakannya sudah diambil bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:36 PM