Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Sejumlah 98 peratus daripada 12,619 pendidik masyarakat di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, baki dua peratus lagi belum menerima suntikan vaksin Covid-19 berikutan masalah kesihatan.

"Mengikut statistik, pendidik masyarakat terdiri daripada guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) adalah seramai 10,802 orang manakala guru Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) adalah seramai 1,817 orang.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 98 peratus sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 manakala baki dua peratus lagi didapati belum mendapatkan vaksin disebabkan masalah kesihatan seperti alahan dan mengandung," katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Peralatan Kursus Quick Win Asnaf Berdikari Daerah Seberang Perai Utara di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Paya Keladi di sini, hari ini.

Berhubung pengoperasian Tabika, Mohamad Yasid berkata, perkara itu tertakluk kepada pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Pengoperasian Tabika adalah di bawah bidang kuasa KPM dan kita menunggu pengumuman yang akan dibuat dari semasa ke semasa.

"Manakala pengoperasian Taska pula adalah mengikut permohonan yang dibuat ibu bapa khususnya dari petugas barisan hadapan," katanya.

Menurutnya, terdapat 206,094 murid Tabika membabitkan 10,301 kelas di seluruh negara manakala Taska seramai 9,369 murid membabitkan 554 kelas.

Sementara itu, mengulas mengenai program asnaf berdikari, Mohamad Yasid berkata, ia adalah program pertama kali yang dilaksanakan tahun ini.

"Program ini adalah amat berbeza apabila pihak kita memilih asnaf yang tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan yang mana kita bantu dengan beri pendidikan, kemahiran, bantuan peralatan niaga sehingga memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memulakan perniagaan di premis.

"Buat permulaan, kita memilih 10 asnaf dari setiap negeri mengikut senarai yang diberikan lembaga zakat negeri masing-masing untuk mengikuti program ini yang peruntukan kita belanjakan adalah sebanyak RM290,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:15 PM
Pendidik Masyarakat Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Nor Hidayah Ahmad Sufi (kanan) dan Pembantu TABIKA, Azmah Mamat melakukan kerja-kerja pencucian menggunakan cecair pembasmi kuman di TABIKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Paya Keladi di sini. FOTO DANIAL SAAD
Pendidik Masyarakat Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Nor Hidayah Ahmad Sufi (kanan) dan Pembantu TABIKA, Azmah Mamat melakukan kerja-kerja pencucian menggunakan cecair pembasmi kuman di TABIKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Paya Keladi di sini. FOTO DANIAL SAAD