BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pelantikan Ahli Parlimen Bagan (Pulau Pinang) Lim Guan Eng sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih untuk tempoh Parlimen Ke-14.

Usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut Peraturan Mesyuarat 76 itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

Usul itu bagi menggantikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Enam ahli Jawatankuasa Pemilih kini terdiri daripada Lim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

Jawatankuasa Pemilih dilantik untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 2:27 PM