GAMBAR hiasan. FOTO Sharul Hafiz Zam
GAMBAR hiasan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub, Pahang bermula tengah malam ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di lokaliti berkenaan akan dilaksanakan selama dua minggu sehingga 25 Oktober depan.

"Pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rodzi berkata, PKPD di empat kampung Orang Asli di Tanjung Rambutan, Kinta, Perak yang dilaksanakan sejak 29 September lalu akan ditamatkan seperti yang dijadualkan, esok.

Katanya, kampung terbabit adalah Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah.

Beliau berkata, PKPD Kampung Bukit Serdang, Bera, Pahang yang sepatutnya tamat Khamis ini juga akan ditamatkan esok iaitu dua hari lebih awal daripada dijadualkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:00 PM