ABDUL Karim Rahman Hamzah pada sidang media selepas melancarkan aktiviti D, Drift yang ditaja oleh Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ABDUL Karim Rahman Hamzah pada sidang media selepas melancarkan aktiviti D, Drift yang ditaja oleh Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

Kuching: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak perlu meneliti semula ketetapan syarat kepada individu yang berhasrat untuk memasuki negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau bimbang syarat itu akan menjejaskan kehadiran pelancong ketika sektor pelancongan dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negeri.

"Permit polis tidak lagi diperlukan untuk perjalanan antara negeri mulai hari ini, tetapi masih ada syarat lain yang perlu dipatuhi oleh mereka yang ingin memasuki Sarawak.

"Saya tidak melihat asas syarat itu untuk memasuki Sarawak kerana polis sudah menamatkan syarat mereka, jadi mengapa kita masih perlu menetapkan syarat lain untuk memasuki Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran program D'Drift Dayak Daily, di sini, hari ini.

Menurutnya, secara peribadi beliau berpendapat bukti lengkap vaksinasi sudah memadai untuk membenarkan individu memasuki negeri ini.

"Bagi mereka yang belum lengkap vaksinasi kerana alasan kesihatan juga harus dibenarkan masuk ke negeri ini dengan syarat menunjukkan surat doktor yang menjelaskan mengapa mereka tidak dapat divaksin," katanya.

Semalam, JPBN Sarawak bersetuju untuk memberi kebenaran kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada polis.

Bagaimanapun, JPBN mengekalkan syarat iaitu individu yang ingin memasuki Sarawak harus membuat permohonan menerusi EnterSarawak dengan menyertakan bukti status 'lengkap vaksinasi'.

Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan keputusan RT-PCR atau antigen negatif yang sah untuk tempoh tiga hari dari klinik kesihatan atau makmal kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:42 PM