Air Selangor melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjadual dengan perancangan rapi walaupun pada waktu malam.
Air Selangor melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjadual dengan perancangan rapi walaupun pada waktu malam.

Penyenggaraan – satu tindakan bagi memastikan harta benda atau peralatan berada dalam keadaan yang baik melalui pembaikan, pembetulan masalah dan sebagainya¹. Untuk memahami konsep ini dengan lebih baik, mari kita lihat penyenggaraan kereta sebagai contoh. Penyenggaraan yang dijadualkan secara berkala adalah penting bagi memastikan kereta kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik, sekaligus mengelakkan kerosakan yang tidak dijangka.

Konsep yang sama turut diterapkan untuk semua aset-aset air kami di Air Selangor. Sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kami bertanggungjawab untuk mengabstrak, merawat dan mengagihkan bekalan air bersih dan selamat kepada 8.4 juta pengguna. Kesemua 34 loji rawatan air (LRA) kami beroperasi 24 jam setiap hari untuk menghasilkan purata 5,000 juta liter air terawat sehari (JLH) untuk diagihkan melalui jajaran paip lebih dari 29,000 km. Bukan itu sahaja, kami turut menguruskan lebih dari 1,610 kolam takungan perkhidmatan, 732 rumah pam dan 1,117 stesen persampelan air.

Sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia dengan beribu-ribu aset, Air Selangor bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjadual secara berkala. Sebahagian daripada aset ini, misalnya terdapat jajaran paip yang telah berusia di antara 20 hingga 30 tahun. Pada masa ini, kami mempunyai sejumlah 87,815 aset dan anggaran jumlah aset dijangka akan meningkat kepada 104,624 menjelang tahun 2023.

Mengapa kerja penyenggaraan berjadual perlu dilaksanakan?

Setiap aset mempunyai jangka hayat dan perlu disenggara atau diservis sebelum mencapai tempoh hayat bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang tidak diduga. Semua aset Air Selangor perlu menjalani program Penyenggaraan Pencegahan dan Penyenggaraan Pembetulan. Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kerja dan Aset, kerja-kerja penyenggaraan dapat dijadualkan dan dilaksanakan dengan cekap bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini daripada berlaku secara tiba-tiba yang mungkin akan menyebabkan gangguan air tidak berjadual seterusnya akan menjejaskan para pengguna.

Apakah yang akan berlaku sekiranya kerja penyenggaraan tidak dilaksanakan?

Sekiranya kami tidak melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan seperti yang telah dijadualkan, kebarangkalian berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual akibat kerosakan peralatan rumah pam, kerosakan aset loji rawatan air, kebocoran paip atau pecah yang seterusnya akan menjejaskan pengguna adalah tinggi. Oleh yang demikian, pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan berjadual dapat mengurangkan kebarangkalian untuk berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kerja penyenggaraan berjadual sangat penting untuk mengelakkan insiden paip pecah diluar jangkaan.

Kebiasaannya, semasa kerja-kerja penyenggaraan berjadual dilaksanakan, para pengguna akan menghadapi gangguan air berjadual. Apakah proses yang berlaku semasa gangguan bekalan air berjadual?

Setiap tahun, Air Selangor merancang untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjadual pada aset-aset bekalan air berdasarkan tempoh jangka hayat aset-aset ini. Walau bagaimanapun, sebelum kerja-kerja penyenggaraan berjadual berskala besar dilaksanakan, operator air perlu membentangkan pelan komprehensif kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Setelah mendapat kelulusan, operator air perlu memaklumkankepada  para pengguna mengenai pelaksanaan kerja tujuh (7) hari sebelum kerja dilaksanakan. Ini termasuk pengumuman gangguan bekalan air dan pelan pemulihan bekalan air untuk kawasan yang terjejas. Ini bagi membolehkan pengguna yang terjejas menyimpan bekalan air secukupnya mengikut keperluan isi rumah mereka. Operator air juga perlu mengemas kini jadual kerja penyenggaraan tepat pada masanya.

Semasa gangguan air berjadual, kerja penyenggaraan akan dilaksanakan ke atas aset yang terlibat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, apabila kerja penyenggaraan di loji rawatan air siap dilaksanakan, setiap bahagian dalam proses rawatan air di loji tersebut memerlukan masa selama enam (6) jam untuk distabilkan. Ini bagi memastikan kolam imbangan diisi sehingga ke paras optimum iaitu 4 meter. Bekalan air kemudiannya akan mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air dan mengambil masa selama 12 jam untuk mengisi semula kolam-kolam air.

Para pengguna akan mula menerima bekalan air mereka secara berperingkat-peringkat setelah sistem agihan bekalan air stabil. Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Apakah bantuan bekalan air alternatif yang disediakan semasa gangguan air berjadual atau tidak berjadual?

Semasa gangguan air berjadual atau tidak berjadual, Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air yang digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta upacara pengebumian. Para pengguna juga boleh melayari hentitugas.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat terkini seperti senarai kawasan terjejas, anggaran masa pemulihan, lokasi Pusat Khidmat Setempat dan Pili Air Awam yang akan diaktifkan semasa insiden gangguan bekalan air. 

Adakah terdapat kebarangkalian di mana para pengguna tidak akan mengalami sebarang insiden gangguan bekalan air semasa gangguan air berjadual?

Para pengguna akan dimaklumkan mengenai sebarang gangguan bekalan air melalui aplikasi Air Selangor, khususnya melibatkan henti tugas loji rawatan air yang akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual. Namun, terdapat juga pengguna yang tidak mengalami gangguan bekalan air semasa tempoh pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan berjadual.

Sebarang kerja penyenggaraan berjadual akan dirancang dengan teliti kerana akan melibatkan tenaga kerja yang ramai merangkumi tenaga kerja kompeten dan petugas di lokasi yang terlibat, pasukan pengurusan loji rawatan air, pakar makmal kualiti air, pengagihan, perkhidmatan pelanggan, pegawai kesihatan dan keselamatan, serta kemas kini maklumat untuk orang awam dan tenaga kerja dari pejabat wilayah. Kesemua tenaga kerja yang terlibat akan bekerjasama dan berganding bahu melalui penyelarasan Pasukan Pelan Tindakan Kecemasan.

Bagi meminimakan impak gangguan, Air Selangor akan mengaktifkan pelan mitigasi bagi membekalkan bekalan air alternatif dari loji rawatan air yang tidak terjejas. Ini dapat dilaksanakan melalui kesalinghubungan sistem bekalan air kami.

Apakah kriteria yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan perlu dipatuhi sebelum pelaksanaan kerja penyenggaraan berjadual?

Sebelum pelaksanaan sebarang kerja berjadual, operator air perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh SPAN bagi mendapatkan kelulusan melaksanakan kerja tersebut. Operator air perlu memastikan:

  • Premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis yang terlibat dengan gangguan bekalan air dikenal pasti.
  • Tarikh dan masa pelaksanaan kerja ditetapkan tujuh hari sebelum atau tujuh hari selepas sambutan perayaan utama serta tarikh peperiksaan utama yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebahagian daripada aset-aset seperti jajaran paip kini berusia 20 hingga 30 tahun. Adakah Air Selangor mempunyai sebarang perancangan untuk melaksanakan program penggantian paip?

Menerusi rancangan perniagaan 30 tahun Air Selangor, kami telah mengambil kira pelaksanaan program penggantian paip lama, yang mana kami merancang untuk menukar lebih 6,000 km paip jenis asbestos dengan anggaran 150km paip setiap tahun. Paip-paip ini dikategorikan sebagai paip usang atau yang tidak boleh dibaiki lagi, sekaligus memerlukan penggantian. Dalam rangkaian pengagihan kami, paip usang ini kebanyakannya dibina menggunakan jenis Asbestos Cement (AC), dan apabila penggantian dilaksanakan, paip ini akan diganti dengan paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) dan Ductile Iron (DI) yang lebih berdaya tahan terhadap sebarang perubahan tekanan dan cuaca.

Image

Ke Arah Masa Hadapan Lestari

Kami berusaha untuk membekalkan bekalan air bersih, selamat dan berterusan kepada pengguna kami. Objektif ini boleh dicapai melalui usaha berterusan kami untuk meningkatkan margin bekalan, meningkatkan kecekapan operasi di loji rawatan air dan meminimumkan kerugian dalam rangkaian pengagihan kami. Kami kekal komited untuk terus memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik melalui standard perkhidmatan terbaik disokong dengan nilai teras yang diamalkan oleh warga kerja kami.

Kami berharap orang ramai dapat memainkan peranan mereka dalam menggunakan air dengan lebih cekap dan berhemah bagi memastikan pemuliharaan dan perlindungan sumber air mentah dan pada masa sama, mengurangkan masalah kekurangan bekalan air mentah dalam jangka panjang.

¹ "Penyenggaraan." Merriam-Webster.com Dictionary, Merriam-Webster, https://www.merriam-webster.com/dictionary/maintenance.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:13 PM