GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Saringan secara berkala akan dijalankan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebaik kampus dibuka secara berperingkat bermula Rabu ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan penuntut yang akan memulakan pengajian berada pada tahap kesihatan terbaik.

Katanya, ia juga untuk memastikan kampus pengajian lebih selamat daripada Covid-19 selepas penuntut dan warga kampus sudah lengkap divaksin.

"Semua IPT akan diminta membuat saringan secara berkala kepada semua penuntut sebaik pengajian bermula.

"Langkah ini adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan penuntut dan mereka yang didapati positif akan diasingkan di pusat pengasingan di kampus," katanya dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru).

Dalam soalan tambahan, Akmal mahu mendapatkan penjelasan apakah strategi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan penuntut disaring secara berkala agar tidak wujud kluster.

Dalam pada itu, Noraini memaklumkan, seramai 2,286 penuntut IPT yang tidak divaksin atas faktor kesihatan setakat 8 Oktober lalu.

Menurutnya, IPT disaran untuk membantu penuntut terbabit agar pengajian kelompok itu tidak terjejas.

"Jika kehadiran secara fizikal tidak dapat dielakkan untuk mereka yang belum divaksin, maka prosedur kawalan pergerakan lebih ketat dilaksanakan seperti ujian RT PCR tiga hari sebelum masuk ke kampus diwajibkan dan ujian saringan kendiri secara berkala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 11:04 AM