AHMAD (tengah) pada sidang media selepas Perjumpaan bersama pemimpin Umno Negeri Melaka di Klebang, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
AHMAD (tengah) pada sidang media selepas Perjumpaan bersama pemimpin Umno Negeri Melaka di Klebang, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
Amir Mamat


Melaka: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno yang akan diadakan Khamis depan dijangka membincangkan secara khusus mengenai perkembangan politik Melaka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang kedua-duanya Ahli MT akan membentangkan situasi politik negeri, termasuk berkaitan persiapan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Datuk Seri Ab Rauf dan Datuk Seri Sulaiman akan membentangkan keadaan sebenar politik Melaka kepada MT dan sudah pasti beberapa lagi perkara berkaitan PRN.

"Presiden Umno bersama semua MT akan membincangkan secara khusus mengenai persiapan jentera parti dalam menghadapi PRN ini," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan kepemimpinan Umno Melaka, di Klebang di sini, malam ini.

Turut hadir, Ab Rauf dan Sulaiman serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ahmad berkata, setakat ini, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mempertimbangkan cadangan PRN berkenaan, selepas mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, persiapan jentera parti perlu dilakukan meskipun Pemangku Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan PRN terpaksa ditangguhkan.

"Sama ada cepat atau lambat, PRN akan tetap diadakan. Justeru, jentera perlu disiapkan bermula daripada sekarang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sekiranya PRN diadakan kelak, ia tidak akan mengganggu perjalanan Persidangan Cawangan Umno yang dijadual bermula 15 Oktober ini.

"Persidangan ini berlangsung dalam tempoh panjang iaitu 15 Oktober sehingga 30 November, dan ia langsung tidak mengganggu perjalanan PRN jika ia diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 11:49 PM