GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak bersetuju memberi kebenaran kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk merentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberi kebenaran itu berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang membenarkan pergerakan rentas negeri mulai esok.

"Perdana Menteri memaklumkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah mencapai 90 peratus, di mana data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

"Sehubungan itu, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, JPBN turut memberi kebenaran untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak menegaskan individu yang ingin memasuki Sarawak masih perlu mematuhi beberapa perkara.

"Mereka harus membuat permohonan menerusi EnterSarawak dengan menyertakan bukti status lengkap vaksinasi.

"Keputusan RT-PCR atau antigen dari klinik kesihatan atau makmal kesihatan negatif yang sah untuk tiga hari sahaja serta lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:32 PM