Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental akan ditubuhkan sebagai pusat penyelidikan dan bantuan bagi isu kesihatan mental.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu pernah disuarakan sebelum ini dan penubuhannya akan direalisasikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bukan sekadar penyelidikan kesihatan mental tetapi ia menjadi tempat rujukan bagi mereka yang mempunyai isu kesihatan mental.

"Ini adalah menjadi antara agenda utama saya buat masa ini (isu kesihatan mental)," katanya dalam Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020-2025 dan Kempen Media Adakah Anda Ok? Let's Talk secara maya, hari ini.

Dalam majlis sama, Khairy berkata, KKM akan meningkatkan keupayaan aplikasi MySejahtera untuk berupaya membantu memantau tahap kesihatan mental seseorang.

Katanya, menerusi MySejahtera, orang ramai boleh mendapatkan bantuan kaunselor dan boleh membuat saringan kesihatan mental.

"Selain pelan strategik dan kempen, KKM juga akan meningkatkan keupayaan aplikasi digital berkaitan kesihatan mental menerusi MySejahtera.

"KKM juga akan meningkatkan aksesabiliti untuk rakyat mendapatkan bantuan sewajarnya berhubung isu kesihatan mental selain meningkatkan jalinan kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Selain itu, Khairy berkata, stigma mereka yang mempunyai isu kesihatan mental sebagai tidak siuman perlu dikikis.

Menurutnya, golongan berkenaan sepatutnya dibantu dan disokong untuk keluar daripada masalah berkenaan.

"Isu kesihatan mental perlu dinormalisasikan dengan mencari bantuan serta rawatan yang sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:19 PM