PETUGAS kesihatan menunjukkan vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer. FOTO Danial Saad
PETUGAS kesihatan menunjukkan vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer. FOTO Danial Saad
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyifatkan jumlah kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang rendah di Sabah adalah bukti kukuh keberkesanan vaksin terhadap rakyat Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, majoriti kes Covid-19 yang dicatatkan hari ini adalah dalam kategori dua kemudian diikuti kategori satu.

"Daripada 761 kes Covid-19 hari ini, 120 kes atau 15.8 peratus adalah pesakit dalam kategori satu manakala 574 kes atau 75.4 peratus adalah kategori dua.

"Lima kes dalam kategori tiga dan empat kes masing-masing dalam kategori empat dan kategori lima. 54 kes lagi masih dalam siasatan lanjut.

"Jumlah kes yang rendah dalam kategori tiga, kategori empat dan kategori lima adalah bukti keberkesanan vaksin.

"Mereka yang sudah diberi vaksin masih boleh dijangkiti tetapi hampir keseluruhan mereka yang dijangkiti tidak akan mengalami kesan dan simptom yang serius kecuali golongan yang memang menghadapi penyakit lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai status vaksinasi di Sabah, Masidi berkata seramai 1,933,743 orang rakyat Sabah sudah menerima dos lengkap setakat hari ini.

"Daripada jumlah ini, seramai 1,895,734 orang atau 68.7 peratus adalah penduduk dewasa, manakala seramai 38,009 atau sembilan peratus remaja sudah lengkap dos vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, sebanyak 11 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu dua kes di Lahad Datu manakala Putatan, Sandakan, Kudat, Keningau, Tongod, Semporna, Kota Kinabalu, Nabawan dan Tuaran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.

Seramai 950 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif 191,122 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 9:02 PM