FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati data dan trend harga ayam yang dikeluarkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) menunjukkan penurunan pada September-Oktober.

KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini berkata, harga purata nasional ayam bersih standard sekitar RM8.70 sekilogram (kg) berbanding RM10 sekilogram dan ke atas pada awal September.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada Isnin lalu mendapati terdapat dua premis daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam dengan harga lebih daripada RM9.50 sekilogram.

"Harga purata nasional telur ayam gred A bagi 30 biji ialah RM13.20, gred B (RM12.40) dan gred C (RM11.80).

"Pemeriksaan di premis menjual telur ayam mendapati 162 daripada 418 premis masih

menjual pada harga lebih daripada RM13.20 bagi gred A."

"Sementara itu, 148 daripada 408 premis menjual pada harga lebih daripada RM12.60 bagi gred B dan sejumlah 337 daripada 667 premis masih menjual dengan harga melebihi RM12 bagi gred C," katanya.

KPDNHEP berkata, menyedari berlakunya trend kenaikan itu pihaknya mengadakan libat-urus dengan semua

pemain industri di semua peringkat rantaian.

Katanya, melalui semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob KPDNHEP mendapat kerjasama dari semua 'ahli keluarga' industri ayam dan telur untuk melihat semula kos dan keuntungan di setiap peringkat rantaian.

"Semua pemain industri bersetuju kepada margin yang munasabah dalam menentukan harga berpatutan di peringkat runcit yang dilaksanakan secara sementara sehingga harga import makanan ternakan ayam kembali stabil."

"Kementerian yakin kerjasama dalam semangat Keluarga Malaysia akan mewujudkan situasi seimbang dan terkawal di pelbagai peringkat rantaian bekalan dan runcit yang semestinya akan diteruskan di masa hadapan."

"Seramai 1,000 pegawai pemantau harga dan 2,200 pegawai penguat kuasa turut digerakkan bagi membuat pemantauan dan pemeriksaan di peringkat runcit, pemborong dan pengeluar pada setiap hari bagi memastikan bekalan dan harga barangan keperluan mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 9:28 PM