ANGGOTA APMM mengesan lelaki dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM mengesan lelaki dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.5 arah Georgetown menghala ke Seberang Perai, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.20 malam.

Katanya, sebaik menerima maklumat daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, pihaknya mengaturgerak aset ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian lelaki berusia 24 tahun itu.

"Motosikal dipercayai milik mangsa ditinggal di atas jambatan berkenaan bersama nota," katanya, hari ini.

Menurut Abd Razak, operasi diaktifkan malam tadi bersama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Polis Marin Batu Uban.

"Operasi mengesan mangsa masih berlangsung," katanya lagi.

Orang awam diminta supaya melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 12:20 PM