Wee Ka Siong.
Wee Ka Siong.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan kenyataan mendakwa tidak wujud penyertaan kontraktor Bumiputera dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

MOT melalui kenyataannya tadi memaklumkan, terdapat 81 syarikat majoriti Bumiputera menyertai projek ECRL dengan nilai sebanyak RM320 juta sehingga 31 Ogos lalu.

Menurutnya, ini adalah 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan Bumiputera dirancang iaitu sebanyak RM3 bilion.

Katanya, fakta ini harus dilihat dalam konteks kemajuan projek bernilai RM50.3 bilion seperti dimaklumkan Menteri MOT, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen semalam.

"Sebanyak 81 syarikat Bumiputera ini berjaya melepasi latihan pra - kelayakan yang diadakan pada 2017 dan 2019 serta memperoleh kontrak mereka secara kompetitif melalui tawaran dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

"Mereka merangkumi 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal," katanya.

Kenyataan MOT ini merujuk kepada beberapa laporan berita yang memfokuskan pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai penyertaan kontraktor Bumiputera dalam Projek ECRL.

Ketika itu, isu ECRL ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli

di Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu.

MOT berkata, secara keseluruhan jumlah penyertaan kontraktor tempatan bagi projek ECRL mempunyai nilai sebanyak RM4.59 bilion dari jumlah yang dirancang sebanyak RM10 bilion (45.9 peratus) dengan 1,368 syarikat mengambil bahagian.

Katanya, di bawah Perjanjian Tambahan (SA) No 6, kadar peratusan efektif penyertaan syarikat Bumiputera dalam projek ECRL juga akan dinaikkan dari 30 peratus kepada 32.9 peratus.

"Ini menunjukkan komitmen kontraktor utama aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC)bagi meningkatkan peratusan penyertaan kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek mega ECRL.

"Perkara ini juga adalah hasil daripada penubuhan Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera di dalam Projek ECRL pada Oktober tahun lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak untuk memastikan penyertaan warga tempatan dan Bumiputera dalam projek ECRL.

"Secara keseluruhan MOT komited untuk memperingkat dan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan supaya mereka dapat turut bersaing dalam projek-projek mega seperti ECRL yang

menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 3:36 PM