Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Penemuan mayat wanita warga Thailand dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Berang di Gua Musang, kelmarin diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan kes terbabit akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, pihak polis sedang menunggu laporan patalogi berikutan terdapat kecederaan di badan mangsa untuk tindakan lanjut.

"Mangsa berusia 44 tahun adalah ibu tunggal dan berniaga berdekatan lokasi kejadian. Hasil siasatan mendapati barang berharga mangsa tidak hilang.

"Kita masih membuat siasatan lanjut dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan ada sedikit kesan kecederaan di badan mangsa dan di lokasi kejadian.

"Polis sedang meneliti kes ini dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, polis meminta kerjasama orang ramai untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat.

Semalam, media melaporkan mayat wanita warga Thailand ditemukan dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Berang, dekat Gua Musang.

Ketua Polis Daerah, Sik Choon Foo dipetik berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan pada 3 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 3:01 PM