GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Keengganan 11 peratus lagi rakyat negara ini mengambil suntikan vaksin Covid-19, menyukarkan lagi usaha Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, walaupun jumlahnya kecil, namun ia memberi kesan yang tidak dijangka kepada risiko penularan lebih serius jika langkah sewajarnya tidak diambil.

"Cabarannya kita bukan sahaja berdepan dengan mereka yang enggan vaksin ini tetapi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mungkin tidak dapat dikesan dan tidak divaksinasi. Jadi risiko itu tetap ada kerana Covid-19 ini sudah ada dalam komuniti kita.

"Justeru, itulah sebabnya tindakan lebih tegas perlu diambil kepada individu yang menolak vaksinasi seperti dilakukan kepada penjawat awam dan anggota tentera.

"Selain itu, bagi saya kita juga perlu pertimbangkan individu yang menolak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini supaya menanggung sendiri kos perubatan mereka jika terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19.

"Bunyinya agak kejam, tetapi kadang-kadang kita perlu tindakan tegas macam itu untuk mewujudkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya vaksinasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas baki 11 peratus populasi dewasa negara termasuk 27,000 rakyat Kelantan yang enggan divaksin.

Katanya, kerajaan perlu meneruskan penguatkuasaan tidak membenarkan individu tidak lengkap vaksinasi daripada memasuki premis penting seperti bangunan kerajaan, pusat beli belah dan sebagainya bagi mengekang penularan wabak.

"Untuk masyarakat umum setakat ini, mereka tidak dibenarkan untuk memasuki premis tertentu sekiranya tidak divaksinasi sepenuhnya dan ini harus diteruskan untuk mengekang kejadian wabak dalam kalangan individu yang tidak divaksinasi.

"Perlu difahami, vaksinasi bukan penawar Covid-19, namun ia mampu mencegah atau mengurangkan kadar risiko jangkitan lebih serius dan kematian kepada mereka yang lengkap divaksin.

"Paling penting setiap individu harus sentiasa membudayakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan mencuci tangan, elak ke tempat sesak dan menjaga penjarakan fizikal jika berada di tempat awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 12:01 PM