MANGSA wanita terperangkap di bawah kereta. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA wanita terperangkap di bawah kereta. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang wanita maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan berhampiran Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mangsa, Tan Ho Ying, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi individu iaitu Gan Yiak Yi, 18; Ng Zhi Ni, 19, dan Lee Yon Lin, 20, dilaporkan cedera.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.40 tengah malam.

"Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dinaiki seorang lelaki serta tiga wanita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, kereta dinaiki mangsa dikatakan dari Putrajaya menghala ke Kajang sebelum terbabas masuk ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Ramal.

"Dalam kejadian itu, terdapat seorang mangsa wanita terperangkap di bawah kereta berkenaan dan berjaya dibawa keluar.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 8:55 AM