PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat Seremban. FOTO Bernama
PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat Seremban. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 20,786,568 individu atau 88.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing setakat semalam.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi kini tinggal 1.2 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka.

Setakat semalam juga, sebanyak 129,152 atau 4.1 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Selain itu, sebanyak 209,907 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam membabitkan 113,441 dos pertama dan 96,466 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar pada 24 Februari lepas meningkat kepada 45,007,832 dos.

Sementara itu, dua kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan kedua-duanya membabitkan kematian di hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,981.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 8:46 AM