FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menjalankan siasatan berhubung klip video tular mengandungi kenyataan didakwa berbaur penghinaan agama dan kaum oleh seorang penceramah bebas, Ustaz Mohd Syakir Nasoha.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, video berdurasi satu minit yang mula tular di beberapa aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari yang lalu itu mengundang kemarahan orang ramai.

Menurutnya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan masih diteruskan dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Polis turut menasihatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Abd Jalil berkata, orang ramai digesa supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 8:05 AM