GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Mayat dipercayai salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Satang, di sini, hujung minggu lalu, ditemukan terapung, hari ini.

Mayat lelaki itu ditemukan nelayan tempatan berdekatan Pulau Satang Besar, pada 5 petang.

Penemuan itu dimaklumkan kepada anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kemudiannya dikerah ke lokasi bagi mengambil mayat terbabit.

Sumber berkata, mayat itu diserahkan kepada polis sebaik tiba di jeti Kampung Telaga Air pada 6.21 petang dan kini ditempatkan di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) sementara menunggu bedah siasat.

Sehingga 8.30 malam, tiada pengesahan identiti mayat berkenaan dan jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan, malam ini.

Pada Sabtu lalu, sebuah bot membawa 10 individu iaitu lapan pemancing, tekong dan pembantu tekong, karam berdekatan Pulau Satang Besar.

Sembilan daripada mereka ditemui terapung dalam keadaan selamat antara 12.30 tengah malam hingga 4 pagi Ahad, manakala seorang lagi iaitu pembantu tekong, Awang Omar Awang Hamsawi, 59, hilang.

Pada Ahad pula, sebuah bot membawa empat pemancing Ng Ching Hui, Christoper Teo, Yap Tze Kang dan Leo Dy Lee Jiann Tarn serta tekong, Khamizan Saidi dilaporkan hilang di perairan Santubong antara Karang Berumput sehingga Tukun Bass.

Operasi SAR semua mangsa diaktifkan sejak Ahad hingga hari ini membabitkan pelbagai agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 10:12 PM