MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO ARKIB NSTP
MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketetapan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan diputuskan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka adalah pakar yang akan membuat kajian dan turut menjadikan PRN Sabah tahun lalu sebagai rujukan.

"...kita pernah lalui situasi sama (PRN) di Sabah dan melihat kesannya, banyak pertimbangan perlu kita fikirkan dalam memutuskan apa yang patut kita lakukan dalam meniti perkembangan di Melaka.

"Kita tidak mahu politik dan pertimbangan sementara atau semasa menjejaskan agenda nasional yang lebih besar iaitu memastikan rakyat selamat daripada pandemik Covid-19 ini, jadi kajian itu mesti mengambil kira apa yang kita terpaksa lalui dan hadapi daripada PRN Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) sempena Program Bakul Mindef Prihatin di Kem Kementah, di sini, hari ini.

Semalam, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka penggal ke-14, sekali gus menyaksikan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai pergerakan rentas negeri dan lebih mengutamakan konsep 'reopening safely'.

Beliau berkata, setakat ini 88.74 peratus individu lengkap vaksinasi dan beberapa hari lagi negara akan mencapai 90 peratus vaksinasi, dengan keputusan rentas negeri akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kerajaan cukup bertanggungjawab, berhati-hati dan tidak perlu gusar... ini untuk keselamatan rakyat dan memastikan kelonggaran dibuat bersandarkan data dan saintifik yang KKM rasa selesa," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 8:45 PM