MAYAT wanita warga Thailand ditemukan dalam keadaan separuh bogel di dalam longkang di Jalan Kuala Berang, Gua Musang, petang semalam. FOTO ihsan polis
MAYAT wanita warga Thailand ditemukan dalam keadaan separuh bogel di dalam longkang di Jalan Kuala Berang, Gua Musang, petang semalam. FOTO ihsan polis
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Mayat seorang wanita warga Thailand ditemukan dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Berang, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa berusia 44 tahun dalam keadaan separuh bogel itu dijumpai orang awam yang melalui jalan berkenaan pada 3 petang.

Beliau berkata, pengurus ladang kelapa sawit terbabit memaklumkan penemuan mayat berkenaan kepada Balai Polis Paloh.

"Anggota yang bergegas ke tempat kejadian mendapati badan mangsa berada di dalam longkang dengan memakai seluar dalam manakala kain batik menutup muka selain gigi palsu mangsa tercabut.

"Hasil siasatan pada badan mangsa mendapati ada kesan diseret pada buku lali kaki kiri dan kesan lebam pada belakang badan mangsa.

"Setakat ini, kami belum menemui kecederaan serius yang boleh menjadi punca kematian dan siasatan lanjut dilakukan sama ada mangsa mati dibunuh atau sebaliknya," katanya kepada media di sini, petang ini.

Sik berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan memandangkan lokasi mayat itu ditemui terletak jauh dari perkampungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 7:57 PM