Ab Rauf memberi penjelasan mengenai isu politik yang sedang bergolak ketika ditemui semalam di Villa D'Aqua, Masjid Tanah, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Ab Rauf memberi penjelasan mengenai isu politik yang sedang bergolak ketika ditemui semalam di Villa D'Aqua, Masjid Tanah, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Masjid Tanah: Barisan Nasional (BN) Melaka mempertimbangkan cadangan untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh berkata, pihaknya beranggapan ia cadangan yang baik dan akan diteliti sebelum dibawa ke peringkat tertinggi parti untuk diperhalusi.

"Kita mengalu-alukan cadangan Pengerusi PN Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen semalam, supaya BN dan PN menjalinkan kerjasama politik dalam menghadapi PRN ini.

"Namun, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan kepemimpinan tertinggi di Ibu Pejabat BN untuk diperhalusi. Hasrat itu sangat saya hargai dan saya akan mengangkat perkara ini untuk pertimbangan parti dalam masa terdekat," katanya ditemui di kediamannya di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka dilaporkan bersedia untuk berunding dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRN.

Malam tadi, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, Umno masih belum memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain termasuk PN bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau dilaporkan berkata, Umno Melaka perlu mengemukakan permohonan kepada pucuk pimpinan parti mengenai setiap cadangan kerjasama berkenaan sebelum keputusan rasmi mengenainya dibuat.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan PRN.

Katanya, BN negeri sudah mengarahkan semua jentera parti untuk melakukan persediaan awal sebelum tarikh pilihan raya diumumkan.

"Kita sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:05 PM