FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Ribut petir dijangka berlaku pada sebelah pagi dan petang yang akan mengakibatkan angin kencang 30 hingga 40 kilometer sejam melanda sekitar perairan Kedah dan Perlis, esok.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah Muhamad Khalil Abdul Aziz berkata, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter dijangka berlaku esok.

"Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai terutama nelayan supaya berhati-hati dan patuhi keselamatan ketika menangkap ikan di laut kerana dijangka ombak agak tinggi nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari ketika dihubungi menasihatkan hampir 4,000 nelayan pantai di negeri itu supaya berhati-hati dan patuhi arahan yang dikeluarkan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah berkata, sekiranya keadaan cuaca tidak elok, lebih baik nelayan tidak turun ke laut demi keselamatan mereka.

"Kalau ombak lebih dua meter, ia agak tinggi dan merbahaya kepada nelayan bot kecil kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Patuhi segala arahan yang dikeluarkan dan jika cuaca buruk, jangan keluar terutama pada waktu malam kerana ia boleh mengundang risiko kepada nelayan," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku banjir berikutan dijangka berlaku berikutan pertembungan air laut dan sungai.

Menurutnya, ombak setinggi hampir tiga meter dijangka berlaku antara 1 pagi esok yang akan menyebabkan tiga kawasan iaitu di Kuala Kedah, Kuala Muda dan Kuala Yan terjejas.

"Sekiranya berlaku pertembungan air laut pasang berlaku dan disertai hujan lebat lebih tiga jam, berkemungkinan besar akan menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan rendah.

"Namun kita nasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya kediaman mereka dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 4:42 PM