Bazar Karat Johor Bahru diarahkan ditutup sejak Ramadan lalu berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mei lalu. FOTO IHSAN PENIAGA
Bazar Karat Johor Bahru diarahkan ditutup sejak Ramadan lalu berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mei lalu. FOTO IHSAN PENIAGA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 365 peniaga Bazar Karat Johor Bahru di sini, kini hidup dalam keadaan susah dan serba kekurangan selepas hampir lima bulan hilang mata pencarian.

Bazar Karat Johor Bahru diarahkan ditutup beberapa minggu menjelang Aidilfitri lalu berikutan penularan wabak Covid-19 di negeri ini sekali gus menyebabkan peniaganya hilang sumber pendapatan.

Peniaga terjejas, Muhd Shah Faris abdullah, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, hampir kesemua peniaga bazar berkenaan kini mengalami kesempitan selepas wang simpanan semakin susut.

Menurutnya, kebanyakan peniaga juga menggunakan wang simpanan yang ada bagi membeli stok barangan bagi jualan sempena Aidilfitri lalu.

"Selepas ditutup setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Bazar Karat Johor Bahru kemudiannya dibenarkan dibuka pada awal tahun ini menyebabkan ramai peniaga terjejas dapat menarik nafas lega.

"Namun baru mula berniaga dengan peniaga melabur mendapatkan stok barangan untuk Aidilfitri, arahan penutupan dibuat seminggu menjelang hari raya menyebabkan kami terduduk kerana sudah mengeluarkan modal yang besar.

"Penutupan bazar karat sejak hampir lima bulan menyebabkan kehidupan peniaga makin terhimpit.

"Seperti saya sebagai contoh, isteri terpaksa membantu berniaga nasi lemak di depan rumah dengan keuntungan antara RM30 hingga RM60 sehari selepas ditolak kos modal.

"Kami mengharapkan Bazar Karat Johor Bahru dapat dibuka semula berikutan Johor sudah memasuk Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 24 September lalu bagi membolehkan kami bernafas semula," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru, Fuad Rahmat mengakui hampir kesemua peniaga bazar karat hilang mata pencarian selepas bazar itu diarahkan ditutup sejak Ramadan lalu.

Bagaimanapun, katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah memberi lampu hijau bagi pembukaan bazar itu namun mahu melihat dahulu SOP yang dibentangkan persatuan.

Sehubungan itu, persatuan berkenaan akan membuat mesyuarat tergempar bersama ahlinya malam esok bagi membolehkan prosedur standard operasi (SOP) dirangka bagi pembukaan bazar itu.

"MBJB juga menyerahkan kepada persatuan untuk menguruskan SOP bazar karat itu berbanding ia diuruskan agensi itu sebelum ini.

"Kita jangkakan pembukaan bazar karat dapat dilakukan menjelang akhir bulan ini selepas persediaan rapi dibuat.

"Kami juga memohon bantuan kerajaan negeri membantu peniaga terjejas terutama bagi menyediakan bantuan modal atau pun bantuan lain.

"Sebelum ini, persatuan serta ahli majlis MBJB ada memberi bantuan termasuk bakul makanan dan bantuan sekali beri kepada peniaga terjejas yang kehilangan mata pencarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 3:12 PM