Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Umno akan memutuskan kerjasama politik dengan parti tertentu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak lama lagi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini, parti itu belum membuat keputusan mengenai perkara terbabit.

"Kita belum putuskan lagi sama ada nak bekerjasama dengan siapa, tetapi yang penting kita mestilah bersiap sedia menyiapkan jentera parti.

"Kemungkinan macam-macam, jangan kita harapkan kekuatan dari luar untuk membantu kita menang, (sebaliknya) mesti membina kekuatan dalaman kita sendiri," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Biro Politik Umno bahagian dalam Melaka di Kampung Pulau, di sini, malam ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hari ini, Perikatan Nasional (PN) Melaka sedia berunding dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRN.

MOHAMAD pada sidang media selepas perjumpaan bersama Ketua Bahagian Umno Melaka di Masjid Tanah, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
MOHAMAD pada sidang media selepas perjumpaan bersama Ketua Bahagian Umno Melaka di Masjid Tanah, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata, rundingan antara Bersatu, Umno dan Pas itu penting bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru ketika berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH).

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada BN negeri untuk mencadangkan kerjasama parti itu dengan PN pada PRN.

"(Berkenaan cadangan PN) itu terpulang kepada (BN) Melaka dan Melaka akan mencadangkan ke peringkat Pusat sebab negeri tak boleh buat keputusan sendiri.

"Ia mesti diluluskan dan mendapat kebenaran dari BN Pusat. Kalau kita kata okey, bolehlah," katanya.

Mengulas mengenai jentera BN dalam menghadapi PRN, Mohamad berkata, persiapan mesti dibuat sebaik mungkin dan kesiapsiagaan itu perlu diterjemahkan dengan membuka Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Tadi Datuk Seri Rauf sudah minta tubuh PDM mulai esok, jentera di peringkat peti undi mesti bergerak dan membuat persiapan kesiapsiagaan menghadapi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

"Mengenai calon pula, perkara itu akan ditentukan melalui rundingan di peringkat bahagian sebelum diputuskan kepemimpinan Umno Pusat kerana watikahnya akan ditandatangani presiden parti atau Pengerusi BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 11:44 PM