GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pergerakan rentas daerah di negeri ini tidak lagi memerlukan permit polis mulai esok.

Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.

Jurucakap JPBN Sarawak berkata, walaupun rentas daerah sudah dibenarkan, permit polis masih diperlukan untuk pergerakan rentas negeri.

"Walaupun rentas daerah dibenarkan, kunjung-mengunjung adalah tidak digalakkan dan orang ramai perlu ada kawalan kendiri yang tinggi kerana kita masih dalam fasa memerangi Covid-19.

"Kita perlu bertanggungjawab dengan mengutamakan keselamatan masyarakat terutama mereka yang berada di kawasan pedalaman," katanya.

Katanya, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak digalakkan untuk keluar rumah buat masa ini.

"Sekiranya perlu, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap vaksinasi dan wajib mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

"Walaupun terdapat kelonggaran sekatan pergerakan bagi mereka yang menerima vaksinasi lengkap, terus amalkan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan jangkitan," katanya.

Sementara itu, Sarawak terus mencatat jumlah tertinggi jangkitan Covid-19 dengan 1,361 kes, hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 218,126 kes sejak Mac 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:26 PM